
VENA VARIKOS: BUKAN SIMPUL BIASA
Oleh: Dr. Kamalbarathi N.Barathilingam
Pakar Bedah Am
Oriental Melaka Straits Medical Centre

VENA varikos atau lebih dikenali sebagai urat kaki bersimpul ialah keadaan yang berpunca daripada penyakit pembuluh darah kronik, Chronic Venous Insufficiency (CVI).
Masalah ini berlaku apabila injap di dalam salur darah vena menjadi lemah atau rosak, menyebabkan aliran darah yang sepatutnya kembali ke jantung berbalik arah dan terkumpul dalam vena.
Akibatnya, urat menjadi kelihatan timbul, berbelit, berwarna kebiruan atau ungu gelap, terutamanya di kawasan kaki dan buku lali.
Walaupun ramai pernah dengar atau mengalami urat bersimpul, tahap kesedaran mengenai bahaya penyakit ini masih rendah, terutamanya dalam kalangan wanita.
Ramai beranggapan ia hanya masalah kosmetik, sedangkan jika dibiarkan tanpa merawat, ia boleh membawa komplikasi yang lebih serius.
SIAPA YANG BERISIKO ALAMI VENA VARIKOS?
Wanita mempunyai risiko hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
Antara faktor wanita berisiko lebih tinggi mengalami vena varikos termasuklah:
• Kehamilan
• Peningkatan usia
• Obesiti
• Faktor genetik
• Pekerjaan yang memerlukan individu berdiri lama seperti guru, penjaja, tukang masak, operator kilang, kru penerbangan serta petugas kesihatan seperti jururawat dan pegawai perubatan.
APA TANDA DAN GEJALA VENA VARIKOS?
Antara simptom yang biasa dialami:
• Bengkak pada kaki dan buku lali
• Rasa berat, lenguh atau sakit yang bertambah apabila berdiri lama
• Penebalan kulit atau perubahan warna kulit di sekitar pergelangan kaki
• Luka kecil yang sukar sembuh, terutamanya di bahagian dalam buku lali
• Kulit menjadi kering, gatal atau menggelupas (dermatitis stasis)
BAGAIMANA PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS VENA VARIKOS?
Pemeriksaan dan identifikasi faktor risiko pada individu yang mengalami tanda-tanda vena varikos amatlah penting bagi menentukan rawatan yang sesuai dan tepat.
Maklumat perubatan yang komprehensif, gambaran terperinci tentang simptom yang dialami pesakit boleh membantu sehingga 80 peratus dalam membuat diagnosis penyakit vena varikos dengan tepat. Pemeriksaan fizikal yang tuntas, mudah dan tidak menyakitkan boleh dilakukan oleh doktor bertauliah, biasanya Pakar Bedah Am dan Pakar Bedah Vaskular.
Pemeriksaan utama yang wajib dilakukan ialah ultrasound dupleks kedua-dua kaki untuk memeriksa struktur dan fungsi injap saluran vena permukaan (superficial) dan yang dalam (deep). Ultrasound ini tidak menyakitkan atau menimbulkan ketidakselesaan. Pemeriksaan in sangat penting untuk mengesan masalah refluks dalam aliran vena dan kehadiran darah beku (venous thrombosis).
Dalam kes tertentu, CT Venogram mungkin diperlukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci terhadap saluran vena.
APA KAEDAH RAWATAN UNTUK VENA VARIKOS?
Rawatan bergantung kepada tahap penyakit dan penilaian doktor.
Antara pilihan rawatan adalah:
1. Stokin Kompresi (graduated compression stockings)
Membantu melancarkan aliran darah dan mengurangkan bengkak. Stokin elastik ini akan menekan pergelangan kaki dan kaki bahagian bawah. Ia mempunyai pelbagai tahap tekanan dan perlu dipilih dengan nasihat doktor.
2. Ubat- ubatan
Ubat phlebotonic boleh membantu dalam mengurangkan simptom bagi kes ringan. Biasanya, digunakan bersama stokin kompresi untuk hasil lebih baik.
3. Rawatan Pembedahan Moden (Minimal Invasif)
Teknologi terkini seperti Endovenous Laser Therapy (EVLT) dan Radiofrequency Ablation (RFA) membolehkan urat yang rosak dirawat tanpa perlu luka besar.
Kelebihannya:
• Tidak meninggalkan parut ketara
• Pesakit boleh pulih dan kembali aktif dalam masa dua hari
• Prosedur tidak menyakitkan dan berkesan dengan risiko komplikasi yang rendah
• Laser boleh merawat keseluruhan spektrum penyakit vena varikos, dari tahap awal sehingga tahap yang serius seperti penyakit vena varikos dengan luka pada kulit (ulser vena)
KOMPLIKASI JIKA TIDAK DIRAWAT
Vena varikos yang tidak dirawat boleh menyebabkan:
• Pendarahan spontan akibat urat pecah
• Luka terbuka (ulser vena) yang sukar sembuh
• Jangkitan kulit (cellulitis)
• Radang urat (phlebitis)
• Kulit berubah warna, kering dan gatal
Komplikasi ini lebih berisiko bagi pesakit yang turut menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau mengambil ubat cair darah.
KESIMPULAN
Walaupun vena varikos bukan penyakit yang mengancam nyawa, ia boleh menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti seseorang.
Kesan fizikal seperti sakit, bengkak dan luka kronik boleh menjejaskan emosi dan menyebabkan tekanan jika tidak dirawat.
Kesedaran serta rawatan awal oleh pakar amat penting bagi mencegah komplikasi dan memastikan pemulihan yang cepat dengan risiko yang minimum.
Teknologi rawatan moden hari ini menjadikan masalah urat bersimpul bukan lagi beban – asalkan langkah rawatan diambil tepat pada masanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


