
VIDEO JETSKI TULAR HANYA PENGGAMBARAN FILEM – PPSPM
AYER KEROH 27 November – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tafsiran salah atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung rakaman video yang menunjukkan dua buah jetski bertembung di Sungai Melaka.
Ia susulan rakaman berdurasi dua minit 57 saat menunjukkan berlaku kejadian pelanggaran antara dua buah jetski itu menjadi tular di platform media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, rakaman yang menimbulkan kekeliruan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada penggambaran rasmi sebuah produksi filem yang dijalankan dari 26 hingga 28 November, melibatkan pelakon serta kru profesional.
“Semakan bersama pihak produksi mengesahkan adegan tersebut telah dirancang lebih awal dan dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.
“Penggambaran turut dipantau agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Shaharul Azuar, PPSPM sentiasa komited memastikan semua aktiviti penggambaran yang dijalankan di Sungai Melaka mematuhi piawaian keselamatan serta peraturan pihak berkuasa, demi menjaga imej, kelestarian dan keselamatan kawasan pelancongan warisan negeri.
“Justeru, orang ramai disarankan tidak membuat tafsiran yang salah atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


