
WAKAF INSTRUMEN PENTING PACU PEMBANGUNAN UMMAH DI MELAKA
PENGKALAN BATU 2 Disember – Wakaf terus menjadi antara instrumen penting dalam memacu pelbagai inisiatif pembangunan ummah di Melaka termasuk pembinaan masjid, sekolah agama dan program pendidikan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, apabila wakaf diurus dengan sistematik dan beramanah, ia sekali gus akan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Di Melaka wakaf telah menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif seperti pembangunan masjid, surau, sekolah agama dan program pendidikan, selain memperkasa komuniti setempat.
“Sebagai pemegang amanah tunggal wakaf Melaka, sehingga 30 Oktober 2025 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedang mentadbir 1,024 lot tanah wakaf membabitkan keluasan kira-kira 389 ekar.
“Perkara ini selaras dengan Seksyen 77 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 dan merupakan satu amanah besar yang menuntut pengurusan telus strategik serta berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Lafaz Wakaf MAIM yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohammad, di Pusat Islam Melaka, di sini, semalam.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, pada masa ini, konsep wakaf tidak lagi terhad kepada tanah dan bangunan sahaja sahaja, tetapi sudah berkembang kepada instrumen yang lebih mudah iaitu wakaf tunai.
“Menerusi wakaf tunai, pelbagai elemen wakaf dapat dibangunkan seperti wakaf pendidikan, wakaf kesihatan, wakaf pembangunan ekonomi dan banyak lagi yang membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk beramal.
“Untuk makluman, pengurusan hartanah wakaf memerlukan kos seperti penyelenggaraan, bayaran cukai dan pelbagai urusan teknikal, justeru itu, MAIM menerusi Bahagian Wakaf Dan Mal terus komited memperluas kutipan wakaf tunai.
“Kutipan ini dibuat sama ada melalui potongan gaji bulanan, sumbangan tunai fizikal mahupun platform digital atas talian,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu seramai 12 pewakaf telah menyerahkan harta mereka untuk diwakafkan kepada MAIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

