Sorting by

×

WANITA MAUT, ANAK DAN ADIK PARAH MOTOSIKAL DIREMPUH SUV

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER MOLEK 31 Oktober – Pekerja sebuah restoran makanan segera maut, manakala anak dan adiknya parah selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Kandang – Ayer Molek, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Nurul Anisha Durahman, 24, yang merupakan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala, anak lelakinya berusia lima tahun dan adik perempuannya berusia 21 tahun yang membonceng motosikal masing-masing mengalami pendarahan di kepala dan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Yamaha Y15 ZR sedang dalam perjalanan dari Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang menghala ke Duyong.

Katanya, ketika tiba di sebuah kedai tomyam, sebuah kereta jenis Toyota Corolla Cross dipercayai telah masuk ke laluan mangsa menyebabkan berlakunya rempuhan.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Manakala pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan parah kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya.

Menurut Christopher, pemandu kereta berusia 36 tahun telah ditahan dan diambil sampel darah bagi tujuan toksikologi.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1211
Kongsi :
Previous post MYKIOSK STADIUM HANG JEBAT BUKAN PROJEK GAJAH PUTIH, KINI LUBUK REZEKI 30 PENIAGA
Next post TRAGEDI SIRAM POKOK, REMAJA DITEMUI LEMAS DALAM KOLAM