Sorting by

×

WANITA MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA MASUK SIMPANG MENGEJUT

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 12 Oktober – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membelok secara mengejut untuk masuk ke simpang di Jalan Krubong berhampiran sebuah kilang suplemen kesihatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa, Nur Aliah Anisah Zulkifli, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mazda CX5 dipandu pengurus pertubuhan agama Budha dari arah Cheng hendak menuju ke Jalan Taman Teknologi Cheng.

Katanya, kereta berkenaan dipercayai membelok ke kanan secara mengejut menyebabkan motosikal ditunggang masa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kiri kereta berkenaan menyebabkannya melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Saga di bahagian kanan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal ditunggang mangsa iaitu Yamaha NVX turut remuk teruk di bahagian hadapan, selain ‘coverset’ pecah secara keseluruhan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat,” katanya.

Menurut Christopher, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup dan rakaman kamera papan pemuka di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post WRUR: PERPADUAN NOMBOR SATU DI KLEBANG
Next post KAPAL KARGO ASING DITAHAN BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN MELAKA