
WARGA BANDARAYA MELAKA MAKIN SEDAR KEPENTINGAN KITAR SEMULA
AYER KEROH 8 November – Rakyat di negeri ini semakin sedar akan kepentingan amalan kitar semula apabila Kempen ‘Jangan Gunalah: Free Plastic, Bermula Dari Saya’ mendapat sambutan luar biasa.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, peningkatan penyertaan dalam kempen yang dianjurkan di Dataran MBMB itu menunjukkan rakyat kini lebih prihatin terhadap amalan kitar semula dan penjagaan alam sekitar.
“Alhamdulillah, kita dapat melihat bahawa masyarakat di sekitar kawasan Bandaraya Melaka sudah mempunyai kesedaran untuk melaksanakan program-program kitar semula”, katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut Shadan, pengurusan bahan buangan atau sisa yang yang boleh dikitar semula bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah mampu menjana pendapatan tambahan kepada individu dan komuniti setempat.
“Apabila masyarakat membuang bahan sisa dengan cara yang betul, dalam masa yang sama mereka juga berpeluang menjana hasil ekonomi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat-syarikat swasta dalam menjayakan usaha MBMB untuk memupuk kesedaran hijau dalam kalangan warga Melaka.
Tambahnya, kempen tersebut dilaksanakan secara konsisten setiap bulan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan MBMB ke arah bandaraya hijau dan bersih.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


