
WARGA DUYONG BERSYUKUR DIKURNIA PEMIMPIN PRIHATIN
DUYONG 16 Julai – Penerima sumbangan sempena Program Ziarah Kasih Kembara Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas keprihatinan pemimpin yang turun padang menyantuni golongan memerlukan.
Norasimah Kassim, 55, berkata kehadiran wakil rakyat bersama pemimpin masyarakat ke kediamannya memberikan semangat dan kelegaan buat dirinya yang tinggal seorang diri.
“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang datang menyampaikan sumbangan serta bertanya khabar.
“Bantuan yang diberikan, termasuk kit makanan dan bantuan tunai ini sedikit sebanyak menjaga kebajikan golongan seperti kami. Saya amat bersyukur,” katanya yang merupakan penerima Bantuan Am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Sementara itu, pesakit terlantar yang juga warga emas, Chong Tu Lim, 64, turut berkongsi rasa terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap nasib dirinya dan keluarga.
Menurutnya, beliau menghidap penyakit kronik dan kini hanya bergantung kepada bantuan JKM yang diterima secara bulanan.
“Syukur dan terima kasih kepada JKM Melaka serta Kerajaan Negeri kerana meningkatkan bantuan bulanan saya daripada RM500 kepada RM600.
“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 50 penerima disantuni dalam program Ziarah Kasih Kembara WRUR melibatkan pelbagai bentuk sumbangan kepada golongan memerlukan di sekitar DUN Duyong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.