Sorting by

×

WARGA EMAS OKU HIDUP DALAM ‘REBAN’ DIHANTAR KE PUSAT JAGAAN – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Warga Emas yang juga orang kurang upaya (OKU) Mazalan Ahmad, 61, sebelum ini tular kerana hidup dalam keadaan daif di rumahnya yang seperti ‘reban’ akan ditempatkan di sebuah pusat jagaan terlantar di Muar, Johor.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata usaha itu sebagai tanda prihatin Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membantu serta menyediakan kehidupan lebih berkualiti kepada warga emas terbabit.

Kalsom berkata, warga emas OKU tersebut tinggal sendirian selepas kematian isterinya lima tahun lalu dan tidak mampu menguruskan diri susulan komplikasi diabetes kronik.

“MAIM telah meluluskan penempatan dia (Mazalan) di pusat jagaan swasta, Ummi Naura Care Centre di Muar, sementara itu Hospital Melaka pula akan menguruskan proses penghantaran Mazalan ke pusat jagaan itu selepas selesai menjalani rawatan.

“Semasa kita temui Mazalan di rumahnya di Bukit Piatu, keadaannya sangat lemah dan mengalami ‘hypo’ yang sangat teruk, jika lewat diberi bantuan, nyawa boleh terancam.

“Syukurlah, tindakan pantas penduduk sekeliling dibantu Kerajaan Negeri berjaya menyelamatkan dia,” katanya yang ditemui selepas melawat Mazalan di Hospital Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan rakyat yang uzur hidup dalam keadaan tidak terurus tanpa dibantu.

Tambah Kalsom, Mazalan yang menerima pencen ilat sebanyak RM975 sebulan dan pendapatan tambahan RM350 hasil sewaan rumah, turut dibantu daripada aspek keperluan asas oleh MAIM.

“MAIM turut memberikan bantuan bekalan makanan, lampin pakai buang dan kaki palsu kepada Mazalan. Hasil lawatan, saya mendapat keadaan Mazalan semakin baik, saya juga sudah berjumpa dengan warisnya, alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja.

“Difahamkan sejak kematian isteri, kesihatan Mazalan yang tidak mempunyai zuriat semakin merosot dan adik-beradiknya tidak berkemampuan untuk menguruskan kehidupannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

824
Kongsi :
Previous post WRUR SUNGAI UDANG PEDULI UMMAH
Next post MELAKA BAKAL ADA LIMBUNGAN KAPAL BAHARU