
WARISAN PULAU NANGKA TERUS DIPELIHARA
BANDA HILIR 28 Mei – Terpencil di tengah lautan, Pulau Nangka bukan sekadar lokasi penuh misteri dan sejarah, malah kini menjadi pentas pembentukan jati diri dan kesedaran warisan dalam kalangan mahasiswa.
Menerusi Program Jelajah Pulau Nangka: Kembara Ilmu dan Alam anjuran Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), pulau itu menyaksikan kehadiran pelajar institusi pengajian tinggi bagi menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan dalam tiga siri bermula 29 April lalu.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, program tersebut diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat tentang pentingnya memelihara tapak warisan sejarah negara.
“CSR ini bermula 29 hingga 30 April bagi siri pertama, 6 hingga 7 Mei (siri kedua) dan siri ketiga pada 14 hingga 15 Mei.
“Pelajar menjalankan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan sekitar pulau bagi membina kesedaran sejarah dalam kalangan generasi muda.
“Melalui aktiviti gotong-royong, perkhemahan, eksplorasi dan pendedahan terhadap ekosistem semula jadi pulau ini, peserta dapat merasai pengalaman ‘back to nature’ yang cukup bermakna,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Erne antara pengalaman menarik pelajar adalah bermalam dalam khemah, mandi air perigi dan menjelajah di sekeliling pulau.
“Dengan adanya program begini pelajar juga dapat mengenali spesies hidupan laut seperti gamat dan siput yang kemudiannya dimasak secara berkumpulan.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat, kita berharap program begini dapat diperluas kepada lebih banyak institusi pendidikan pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.