Sorting by

×

WASPADA AMARAN HUJAN LEBAT, PANTAU PERGERAKAN ANAK

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 28 November – Rakyat Melaka diingatkan supaya lebih berwaspada susulan amaran hujan yang diramal berterusan hingga esok bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini termasuk melibatkan kehilangan nyawa.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ibu bapa atau penjaga terutamanya diingatkan supaya lebih peka terhadap pergerakan anak masing-masing.

“Saya menerima khabar duka berkaitan seorang kanak-kanak yang maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar petang tadi (semalam) . Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

“Bersama-sama kita doakan agar Negara Malaysia dan Negeri Melaka yang kita cintai ini sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Rais berkata, Kerajaan Negeri Melaka telah meminta supaya setiap jabatan dan agensi berkaitan untuk sentiasa bersiap siaga, demi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan meninggal dunia pada jam 8.35 malam selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bidara Permai, Majid Tanah.

Mayat kanak-kanak berkenaan ditemui tersangkut pada dahan pokok oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

Terdahulu dalam kejadian jam 5.30 petang mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras menuju kawasan tadahan akibat hujan lebat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post MPJ SELESAI 97 PERATUS DARIPADA KESELURUHAN 611 ADUAN DITERIMA