
WCE: LALUAN SEPANJANG 69 KILOMETER, WUJUDKAN ENAM PINTU MASUK BAHARU KE MELAKA
SERI NEGERI 9 Disember – Pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bukan sahaja mewujudkan jaringan sistem perhubungan jalan raya lebih efisien, malah dilihat bakal menjadi pemangkin kepada ekonomi Melaka menerusi pembukaan enam pintu masuk baharu ke negeri ini.
Laluan sepanjang 69 kilometer (km) itu akan mewujudkan susur masuk alternatif baharu ke Melaka yang selama ini tertumpu di Plaza Tol Simpang Ampat, Plaza Tol Ayer Keroh dan Plaza Tol Jasin.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, antara pintu masuk baharu dicadangkan adalah Masjid Tanah, Rembia, Gangsa dan Sungai Rambai.
Katanya, projek WCE merentasi empat negeri bermula dari Banting, Selangor melalui Negeri Sembilan seterusnya merentasi Melaka dan berakhir di Gelang Patah, Johor itu dijangka akan dilancarkan pada penghujung 2026.
“Pembinaan WCE dijangka mengambil masa selama 10 tahun, walau bagaimanapun pelancaran projek hubungan selatan ini juga bergantung kepada koordinasi bersama Negeri Sembilan dan Johor.
“Sebenarnya WCE adalah alternatif utama bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya PLUS dan meningkatkan kelancaran jaringan pengangkutan. Penempatan tol (susur keluar) dirancang berdasarkan kepadatan penduduk supaya pengguna luar dari negeri dapat mengakses jalan dengan mudah,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau memaklumkan penduduk tempatan tidak perlu gusar kerana mereka boleh menggunakan jajaran baharu jalan lingkaran (ring road) tanpa tol yang juga bakal dibina kelak.
“Semua ini bertujuan memastikan kesesakan dapat diurus dengan lebih baik, terutama melibatkan kawasan bandar yang padat. Strategi ini membantu mobiliti penduduk dan pelancong supaya keberkesanan jaringan jalan dapat dimaksimumkan tanpa mengganggu kawasan penempatan sedia ada.
“Jajaran baharu lingkaran jalan yang bakal dibina merangkumi beberapa projek utama termasuk perhubungan antara dua daerah iaitu Alor Gajah ke Melaka Tengah iaitu dari Jalan Masjid Tanah ke Sungai Udang,” katanya.
Terdahulu pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh memaklumkan Projek WCE kini berada pada fasa Kajian Kebolehlaksanaan dan dijangka menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi serta peningkatan aksesibiliti di sepanjang jajaran WCE Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


