
‘WELLNESS HUB’ BANTU PESERTA TURUNKAN BERAT BADAN
TELOK MAS 4 April – Kewujudan Wellness Hub Melaka Tengah mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat yang melihat inisiatif itu sebagai platform terbaik untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Norazlina Rahman, 48, berkata dia yang telah berkhidmat sebagai kakitangan kesihatan selama 25 tahun menyambut baik kemudahan tersebut kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk menjaga kesihatan secara konsisten.
Menurutnya, Wellness Hub itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk senaman yang boleh disertai pada hari biasa, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti.
“Bagi saya, ia sangat bagus kerana kita boleh datang untuk bersenam dan pada masa sama memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Wellness Hub Melaka Tengah, Kampung Alai, di sini, semalam.
Sementara itu, Siti Asmah Ali, 44, berkata kewujudan pusat tersebut turut memberi motivasi kepadanya untuk menurunkan berat badan melalui program yang disediakan.
“Saya secara sukarela menyertai program pengurusan berat badan yang akan bermula pada 8 April dan berlangsung selama enam bulan.
“Program ini sangat membantu, terutama bagi mereka yang bekerja kerana kita perlu ikut jadual yang telah ditetapkan dengan disiplin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


