Sorting by

×

WISMA MELAKA ‘NADI’ KEBAJIKAN MAHASISWA DI MESIR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 Februari – Kebajikan 118 anak Melaka yang menimba ilmu di Mesir diberi perhatian Kerajaan Negeri menerusi perasmian Wisma Melaka, Mesir.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Wisma Melaka bakal menjadi teduhan serta nadi kebajikan kepada mahasiswa Melaka yang menuntut ilmu di negara itu.

Pada masa sama, beliau turut melancarkan Furqan 26, iaitu suatu program pengimarahan Ramadan buat anak-anak Melaka di perantauan.

“Saya nyatakan pelaburan paling mahal bukanlah bangunan tinggi. Hakikatnya, pelaburan paling mahal adalah pembinaan ilmu, pengukuhan akhlak dan pemerkasaan nilai diri. Itulah aset sebenar negeri. Itulah kekuatan masa hadapan negeri Melaka.

“Sebagai Ketua Menteri, saya beri jaminan, Kerajaan Negeri akan terus berdiri di belakang anak-anak Melaka. Tiada yang tercicir. Tiada yang dipinggirkan. Semua berhak mendapat peluang untuk berjaya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau ketika mengadakan lawatan kerja ke bumi Mesir sebelum berangkat menunaikan umrah.

Turut bersama Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta lain-lain kenamaan.

Fb img 1771576477367
AB Rauf bergambar bersama sebahagian anak watan Melaka yang menuntut ilmu di Mesir. Foto Pejabat Ketua Menteri

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kesemua 118 anak watan yang menuntut ilmu di Mesir merupakan antara ‘duta kecil’ Melaka yang akan membawa nama negeri.

“Pesanan utama saya satu sahaja, fokus. Datang ke sini dengan tujuan yang baik. Kalian bukan sekadar pelajar, kalian adalah duta kecil negeri Melaka. Setiap tingkah laku, setiap kejayaan, setiap keputusan yang dibuat pastinya membawa nama negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post SEJATI MADANI BANTU 4 USAHAWAN TANAH MERAH BERKEMBANG
Next post PENDUDUK BERSYUKUR DILEMA BANJIR 25 TAHUN BAKAL SELESAI