Sorting by

×

WRUR: 242 ADUAN DITERIMA DI DUN KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 10 Oktober – Sebanyak 242 aduan telah disenarai untuk diselesaikan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, aduan berkenaan adalah hasil perjumpaan empat mata dengan penduduk di taman perumahan dan perkampungan sekitar DUN berkenaan sejak WRUR bermula 5 Oktober lalu.

Ban Hong berkata, antara yang disuarakan rakyat adalah permasalahan berhubung kemudahan awam seperti lampu jalan, longkang dan menambah infrastruktur rekreasi.

“Semua aduan termasuk menambah bilangan kawasan rekreasi kita ambil perhatian kerana memang menjadi hasrat saya untuk mewujudkan suasana hijau dan kondusif, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Klebang.

“Aduan atau permasalahan bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Japerun kita akan segerakan, mungkin tidak mengambil tempoh masa yang lama,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Program Pembangunan Pemimpin Pelapis bersempena WRUR DUN Klebang, di sini, semalam.

Walau bagaimanapun Ban Hong berkata, bagi perkara berbangkit termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) perlu dirujuk kepada agensi berkaitan kerana ia dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengangkat isu terbabit untuk perhatian dan tindakan segera daripada kementerian yang berkenaan.

“Setakat ini semua agensi dan jabatan tidak kira negeri atau persekutuan memberikan maklum balas amat baik, mereka turun padang bersama saya untuk lihat serta mendengar sendiri keluhan rakyat.

“Tindakan seterusnya saya akan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada agensi atau jabatan berkenaan untuk mendapatkan perkembangan kemajuan penyelesaian permasalahan yang disuarakan oleh rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2026: BANTUAN UNTUK RAKYAT JADI ‘TOP WISH’ ORANG MELAKA
Next post MELAKA CERIAKAN DEEPAVALI 84 MURID SJKT