
WRUR 3 DUN BAWA KONSEP ALOR GAJAH KAMPUNG KITA
SERI NEGERI 6 Februari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) edisi 2026 bakal membuka tirai pada April depan dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Gadek dan Machap Jaya bakal menjadi lokasi pertama tahun ini.
Pengerusi Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penganjuran di tiga DUN itu akan bermula di Asahan pada 3 hingga 11 April, diikuti Gadek pada 12 hingga 18 April dan Machap Jaya 19 hingga 25 April.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, kelainan turut ditampilkan pada WRUR di tiga DUN itu dengan membawa konsep Alor Gajah Kampung Kita.
“Alhamdulillah kita telah mengadakan mesyuarat penyelarasan lebih awal dan kita menunggu agensi serta jabatan untuk menyusun program-program menarik yang akan disediakan kepada rakyat.
“Pada masa sama, kita juga telah mula mengumpul aduan rakyat dan insya-Allah pada Mac kita sudah boleh memuktamadkan jumlah aduan yang diterima, selain jumlah program yang bakal diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, perasmian pembukaan WRUR akan diadakan di DUN Asahan pada 3 April, manakala perasmian penutup pula berlangsung di DUN Machap Jaya pada 25 April.
“Saya yakin dan percaya masyarakat di Asahan, Gadek dan Machap Jaya pastinya sudah tidak sabar-sabar untuk menantikan WRUR di kawasan masing-masing memandangkan impaknya amat besar kepada rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


