Sorting by

×

WRUR ASAHAN: DEWAN TERBUKA BAWA ‘SINAR BAHARU’ BUAT WARGA SMK SELANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

ASAHAN 11 April – Penantian warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar untuk memiliki kemudahan dewan serbaguna akhirnya menjadi kenyataan apabila ia bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Impian bertahun-tahun itu dinoktahkan pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan apabila telah diadakan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) dan simbolik pecah tanah bagi pembinaan dewan serbaguna terbuka berbumbung dan gelanggang serbaguna.

Menurut pengetua SMK Selandar, Muhammad Safuan Chai Abdullah, usaha merealisasikan pembinaan dewan tersebut sebenarnya telah dimulakan sejak pentadbiran mantan pengetua sekolah berkenaan sebelum pandemik COVID-19 lagi.

Katanya, hasil usaha berterusan daripada pihak sekolah serta sokongan pelbagai pihak akhirnya membolehkan projek berkenaan direalisasikan demi keselesaan 725 pelajar dan kakitangan sekolah tersebut.

“Kemudahan ini amat dinantikan oleh warga sekolah memandangkan keselesaan pelajar dan guru terjejas dalam penganjuran aktiviti rasmi sekolah terutama ketika cuaca panas.

“Setiap kali perhimpunan pagi pelajar ‘tidak nampak’ guru di hadapan kerana kedudukan matahari yang betul-betul menghadap mereka dan situasi ini telah berlarutan sehingga kini.

“Dengan siapnya dewan ini nanti, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan selesa tanpa perlu bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) Pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DTSB) dan Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung SMK Selandar yang disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan di SMK Selandar, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Muhammad Safuan Chai berkata, kemudahan dewan terbuka itu nanti mampu meningkatkan penglibatan pelajar serta menyediakan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaksanaan pelbagai program sekolah.

Pada masa sama, ujarnya, dewan terbuka itu juga boleh memberi manfaat kepada penduduk sekitar bagi kegunaan aktiviti komuniti.

“Walaupun dewan ini dibina untuk kegunaan warga SMK Selandar, kami amat mengalu-alukan penggunaan oleh orang awam kerana kemudahan ini adalah untuk manfaat bersama serta masyarakat juga dapat mengisi masa lapang pada hujung minggu dengan aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.

“Segala sokongan, jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjaya serta merealisasikan kemudahan ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post KERAJAAN TERUSKAN OPERASI PEMBENIHAN AWAN, BANTU TINGKAT PARAS AIR EMPANGAN MELAKA
Next post KONSEP ‘PIKNIK’ RUMAH TERBUKA AIDILFTIRI DUYONG TARIK 30,000 PENGUNJUNG