Sorting by

×

WRUR ASAHAN: DEWAN TERBUKA ‘HADIAH’ 5 TAHUN PENANTIAN SMK SELANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

ASAHAN 10 April – Usaha berterusan pelbagai pihak lebih lima tahun lalu dalam memperjuangkan keperluan dan kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar (SEMENDAR) membuahkan hasil apabila pembinaan dewan terbuka diluluskan permohonannya baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sebuah dewan terbuka serbaguna yang merangkumi dua gelanggang sepak takraw beserta dua bilik utiliti akan dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.

Katanya, permohonan bagi kemudahan tersebut telah dibawa dan diperjuangkan sebelum beliau menggalas tugas sebagai wakil rakyat berikutan keperluan mendesak sekolah itu yang tidak mempunyai ruang sesuai untuk menjalankan aktiviti berskala besar.

“Sejak lima tahun lalu, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengangkat isu pembinaan dewan ini dalam perbincangan bersama pihak berkaitan serta menyalurkan permohonan kepada Kerajaan Negeri.

“Untuk menerima kelulusan pembinaan dewan sekolah ini bukanlah usaha sehari dua, tetapi hasil daripada perbincangan dan usaha berterusan bersama pihak sekolah serta agensi terlibat.

“Kita faham keperluan pelajar dan guru yang memerlukan kemudahan lebih selesa, jadi perkara ini diberi perhatian serius dan inilah buktinya apabila ia berjaya direalisasikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) Pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) dan Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung SMK Selandar sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Pengetua SMK Selandar Safuan Chai Abdullah serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, kelulusan projek itu bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah turut boleh dimanfaatkan oleh komuniti setempat untuk pelbagai program.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Jabatan Pendidikan Negeri serta pihak-pihak lain yang terlibat memberi kerjasama merealisasikan pembinaan dewan terbuka itu.

“Dewan ini nanti bukan sahaja untuk kegunaan sekolah, tetapi juga boleh menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat. Kita akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia berjalan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan.

“Ini sebahagian daripada komitmen kita untuk memastikan kemudahan pendidikan di kawasan ini terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post PELUANG MILIKI RUMAH IDAMAN: MAPEX 2026 MELAKA TAWAR 3,118 UNIT HARTANAH SERENDAH RM70,000
Next post RUMAH BAHARU ROSMARIA ABADI KASIH ARWAH SUAMI