
WRUR ASAHAN: DOA KETUA MENTERI BERI SEMANGAT BILAL LAWAN KANSER DARAH TAHAP 4
ASAHAN 8 April – Titipan doa daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagai memberi semangat baharu kepada seorang bilal untuk berjuang melawan kanser darah tahap empat.
Kata-kata azimat itu diberikan kepada Ahmad Abd Hamid, 64, dalam siri ziarah Ketua Menteri di Taman Batang Melaka sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di sini, hari ini.
Ab Rauf diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan tiba di kediaman bapa kepada empat anak itu kira-kira jam 3.40 petang bagi menyantuni dan mendapatkan maklumat bantuan yang diperlukan keluarga itu.
Pada sesi ziarah kira-kira 30 minit itu, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang tunai, selain sumbangan kit makanan.
Di kesempatan sama, beliau turut mendoakan warga emas itu agar terus kuat, selain diberi kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Terdahulu, sesi ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


