
WRUR ASAHAN: IBU TUJUH ANAK BINA LEGASI ROTI CANAI ASAHAN
ASAHAN 7 April – Wanita berhati besi, adalah gelaran yang sesuai bagi menggambarkan wanita pemilik nama Usahawan Norliza Arshad, 43.
Apa tidaknya ibu kepada tujuh anak ini membuktikan kemahuan pasti membawa hasil apabila dia kini berbangga dengan jenama sendiri menerusi produk roti canai dan roti ‘boom’ dihasilkan.
Bermula secara kecil-kecilan dengan memasarkan produk orang lain Norliza kini memasarkan produk sejuk beku berkenaan menggunakan jenama Ummi Eiza Roti Canai Paratha ke seluruh Melaka selain mempunyai ejen jualan di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Usahawan kampung ini berkata, idea membuat roti canai tercetus apabila dia pulang ke kampungnya di Selandar pada 2017 selepas menetap di Kuala Lumpur.
“Saya berguru dengan abang ipar selama seminggu, belajar cara mengadun dan menebar sebelum memulakan perniagaan roti canai segera secara kecil-kecilan. Sepanjang di Kuala Lumpur saya hanya mengambil upah menjual produk orang lain.
“Walaupun bermula dengan kuantiti yang kecil namun itu tidak mematahkan semangat dan dalam tempoh itu juga saya mengikuti kursus dianjurkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Kalau dulu saya hanya boleh tebar seguni tepung tetapi sekarang sehari saya mampu habiskan dua guni tepung dan alhamdulillah produk keluaran saya kini makin mendapat tempat dipasaran,” katanya.
Norliza berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin pada Ziarah Kasih Usahawan Negeri Melaka Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di Kampung Selandar, hari ini.
“Saya tidak menyangka bermula dengan suntikan bantuan awal perniagaan daripada KEMAS kini sudah ada bengkel membuat roti canai sendiri yang terletak dihadapan rumah.
“Sebagai usahawan yang baru menceburi diri dalam bidang perniagaan KEMAS banyak membantu saya begitu juga Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
“Bagi menampung permintaan saya perlu memastikan produksi berjalan lima hari seminggu dengan setiap hari sekurang-kurangnya 500 keping roti dihasilkan selain adunan roti keluaran kami tidak menggunakan telur seperti kebiasaannya,” katanya.
Jelasnya, selain merancang untuk terus mengembangkan lagi perniagaan diusahakan dengan mengeluarkan produk makanan sedia dimakan dia kini sedang berusaha mendapatkan sijil halal.
“Dalam tempoh dua tahun lagi saya ingin keluarkan produk makanan sedia dimakan seperti roti canai bersama rendang atau kari ayam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


