
WRUR ASAHAN: INOVASI TEPUNG PISANG GORENG SEGERA SHAMSIAH
ASAHAN 8 April – Pengalaman lebih dua dekad menjual pisang goreng mendorong peniaga ini untuk menghasilkan tepung bancuhan segera bagi memudahkan pelanggannya menikmati hidangan itu di rumah.
Shamsiah Ahmad, 56, berkata, idea menghasilkan tepung pisang goreng segera dipasarkan menggunakan jenama Tepung Goreng Pisang Merecik Hawau tercetus selepas 21 tahun berniaga secara kecil-kecilan di hadapan Balai Polis Batang Melaka.
“Saya mempunyai pelanggan tetap dan ada dalam kalangan mereka yang mahu menikmati pisang goreng dimasak sendiri di rumah tetapi mempunyai rasa yang sama, ini turut mendorong saya menghasilkan tepung bancuhan siap diguna.
“Walaupun tepung ini hanya produk sampingan namun ia memberi saya peluang untuk menjadi usahawan kecil,” ibu kepada lapan anak ini ditemui pada Program Jelajah Usahawan Negeri Melaka sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan, di Balai Raya Batang Melaka, pada Isnin.

Menurut Shamsiah, setakat ini tepung berkenaan belum dipasarkan secara meluas kerana masih dalam proses penambahbaikan dan mendapatkan pensijilan halal.
“Walaupun ada permintaan namun saya ingin pastikan produk saya ini mendapat kelulusan beberapa pihak berkaitan terlebih dahulu termasuk mendapat kelulusan sijil halal.
“Saya amat berharap akan ada agensi yang sudi membantu dalam memperbaiki dan memperkemaskan lagi produk dihasilkan ini,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya program jelajah usahawan yang diadakan sempena program WRUR ia amat membantu usahawan kecil khususnya dalam mendapatkan maklumat daripada agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


