
WRUR ASAHAN: JULANG MARTABAT, RAIKAN ORANG ASLI
ASAHAN 9 April – Penganjuran Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dilihat bukan sekadar acara riadah, sebaliknya membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali dengan lebih dekat tradisi budaya masyarakat Orang Asli.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan/Melaka Shahrani Idderis berkata, program cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan itu juga melebarkan lagi ruang interaksi antara masyarakat Orang Asli dan komuniti luar.
“Mengikut kebiasaan program kami anjurkan hanya melibatkan sekitar kampung Orang Asli sahaja dan selalunya wakil rakyat akan hadir bagi menyantuni komuniti itu.
“Tetapi pendekatan yang dibawa menerusi WRUR ini berbeza apabila masyarakat Orang Asli dibawa keluar dan diraikan menerusi program yang diaturkan.
“Menerusi program seperti ini komuniti luar secara tidak langsung dapat mengenali masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat, contoh aspek permainan tradisi mereka,” katanya.
Shahrani berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) yang dianjurkan bersempena program WRUR DUN Asahan di Padang Awam Kampung Masjid Baru, Isnin lalu.

Terdahulu, karnival disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan hadir sama Adun Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan serta Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.
Menurut Shahrani, JAKOA amat berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang ini bagi memberikan peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk berkongsi mengenai keunikan seni dan budaya mereka.
“Program sebegini juga merupakan medium terbaik dalam membantu masyarakat Orang Asli tingkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


