Sorting by

×

WRUR ASAHAN: MELAKA LULUS PERUNTUKAN BAIK PULIH 18 RUMAH ORANG ASLI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ASAHAN 6 April – Peruntukan sejumlah RM59,000 diluluskan Kerajaan Negeri bagi kerja baik pulih 18 buah kediaman Orang Asli di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, peruntukan itu diluluskan selepas menerima permohonan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan yang memaklumkan terdapat beberapa kediaman masyarakat Orang Asli yang memerlukan perhatian segera.

“Ini adalah antara usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam membantu masyarakat Orang Asli khususnya agar mempunyai kehidupan yang lebih selesa.

“Peruntukan sudah diluluskan oleh Ketua Menteri dan dijangka pada minggu hadapan kerja-kerja baik pulih kesemua kediaman ini dapat dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) yang dianjurkan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Asahan yang berlangsung di Padang Awam Kampung Masjid Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Fairul Nizam; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, jumlah itu adalah peruntukan awal yang diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan sekiranya terdapat permohonan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat seterusnya untuk pertimbangan.

“Baik pulih kesemua 18 kediaman ini akan dilaksanakan secara gotong-royong dan turut membabitkan anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post MATTA FAIR MELAKA 2026 TAWAR LEBIH 150 PAKEJ PELANCONGAN MENARIK
Next post WRUR ASAHAN: PBT MELAKA TIDAK AMBIL RINGAN ISU SEMAK-SAMUN TANAH TERBIAR