
WRUR ASAHAN: PBT DISARAN PERLUAS PENDEKATAN ZIARAH KASIH KEPADA KOMUNITI
ASAHAN 7 April – Pendekatan ziarah kasih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran diperluaskan kepada komuniti sebagai usaha menyantuni lebih ramai golongan memerlukan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pendekatan itu yang sebelum ini dilaksanakan melibatkan kebajikan kakitangan PBT, wajar diperluaskan agar manfaatnya dapat dirasai masyarakat setempat.
Menurutnya, usaha itu boleh digerakkan melalui kerjasama ahli majlis dan pihak Japerun bagi memastikan lebih banyak program turun padang dilaksanakan.
“Saya lihat PBT di negeri ini sangat prihatin apabila melibatkan kebajikan staf seperti menziarahi mereka yang sakit atau ditimpa musibah.
“Pendekatan ini amat baik dan boleh diperluaskan kepada komuniti supaya lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan di Kampung Bukit Senggeh, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dan Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan ziarah kasih yang diperluaskan itu juga boleh dijadikan sebahagian daripada pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh PBT.
“Walaupun program CSR dilaksanakan secara bermusim, ia wajar dipergiat agar lebih banyak inisiatif kebajikan dapat disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.
“Program CSR ini kita galakkan supaya diperbanyakkan dan boleh digerakkan melalui cadangan daripada ahli majlis serta pihak Japerun untuk turun padang ke kawasan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Mengulas mengenai program, Zulkiflee berkata pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) turut menjadi antara inisiatif penting dalam membantu rakyat memiliki kediaman lebih selesa.
“Bagi pemohon di bawah e-Kasih, mereka boleh memohon dengan syarat mempunyai tanah sendiri atau mendapat kebenaran pemilik tanah.
“Walaupun pelaksanaan pembinaan rumah baharu ini terhad, PBT akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan kerana permintaan di setiap DUN adalah tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


