
WRUR ASAHAN: PBT MELAKA TIDAK AMBIL RINGAN ISU SEMAK-SAMUN TANAH TERBIAR
ASAHAN 6 April – Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa mengambil berat terhadap aduan masyarakat khususnya membabitkan kawasan terbiar yang dipenuhi semak-samun.
Namun Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tindakan itu hanya boleh diambil jika masalah itu berlaku di atas tanah rizab kerajaan atau tanah awam.
“Sekiranya, menerima aduan daripada penduduk, kesemua empat PBT sudah pasti akan mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Gotong-Royong Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Taman Melawati Pondok Batang, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Rais bagaimanapun memaklumkan, bagi isu semak-samun di tanah terbiar milik persendirian, khususnya di kawasan luar bandar tindakan hanya boleh diambil selepas mengesan pemilik tanah tersebut.
Jelas beliau, aduan tersebut masih boleh disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi mengenal pasti pemilik sebelum tindakan pembersihan boleh dilakukan.
“Tanah persendirian ini memang ada prosedurnya. Kita perlu laporkan kepada PDT untuk mereka kenal pasti pemilik tanah, namun ada yang sering menjadi masalah apabila pemiliknya sudah tiada atau waris tidak menguruskan tanah tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

