
WRUR ASAHAN: PENDEKATAN FLEKSIBEL BANTU LEBIH RAMAI RAKYAT MILIKI KEDIAMAN
ASAHAN 8 April – Cadangan supaya pembinaan rumah baharu tidak dihadkan mengikut kuota dilihat mampu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat dalam kategori memerlukan memiliki kediaman lebih selesa dan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ketika ini peruntukan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya menetapkan sebuah rumah baharu bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap tahun.
“Justeru, pendekatan lebih fleksibel tanpa kuota wajar dipertimbangkan supaya permohonan yang benar-benar layak dapat diberi keutamaan khususnya di kawasan luar bandar.
“Buat masa ini, KPKT memperuntukkan sebuah rumah sahaja untuk setiap DUN bagi pembinaan baharu. Namun, saya menyarankan agar ia tidak dikuotakan kerana ada pemohon yang amat memerlukan pembinaan rumah dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sentuhan Kasih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan di Kampung Bukit Senggeh, di sini, semalam.
Terdahulu program berkenaan dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang turut dihadiri Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata keperluan pembinaan rumah baharu lebih ketara di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan daripada pihak kementerian.
“Di Melaka, kebanyakan kawasan berada di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun kawasan luar bandar masih memerlukan sentuhan tambahan khususnya dalam aspek perumahan.
“Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa mengemukakan permohonan kepada kementerian, namun kelulusan yang diterima adalah terhad,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


