
WRUR ASAHAN: RUMAH BAHARU SINARI KEHIDUPAN NEK PATIMAH, LIMA CUCU
ASAHAN 9 April – Kehidupan seorang warga emas yang sebelum ini mendiami rumah serba daif kini berubah apabila nasibnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Ia selepas nenek kepada lima cucu itu terpilih menerima sumbangan bina baharu rumah menerusi Program Sentuhan Kasih MPJ sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Patimah Bulat, 82, menzahirkan rasa syukur di atas bantuan yang disifatkan cukup besar, selain memberi sinar harapan untuk keluarga besarnya meneruskan kehidupan.
“Nenek benar-benar terharu dan tidak sangka akan menerima bantuan sebesar ini. Jika dahulu, rumah kami mungkin serba kekurangan, namun kini kami mendapat rumah baharu yang lebih selesa dan cantik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, simbolik penyerahan replika kunci itu disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan serta Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Sementara itu, cucunya, Siti Norazah Selamat, 27, yang tinggal bersama dengan neneknya sejak kecil dan memikul tanggungjawab sebagai penjaga utama turut berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
Jelasnya, rumah lama didiami mereka sebelum ini tidak mempunyai bilik yang sempurna, selain hanya mempunyai satu ruangan tertutup yang digunakan sebagai tempat solat dan stor penyimpanan.
“Alhamdulillah raya kali ini lebih bermakna kerana kami dapat rumah yang lebih selesa dan dilengkapi tiga bilik.
“Selepas ibu meninggal dunia, kini keutamaan saya adalah untuk menjaga nenek hingga akhir hayatnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


