Sorting by

×

WRUR BANTU SELESAI MASALAH DI PERINGKAT AKAR UMBI

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SUNGAI UDANG 29 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang telah membuktikan keupayaannya dalam menyelesaikan masalah di pelbagai peringkat termasuk kes-kes terpencil di peringkat akar umbi.

Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, menerusi siri turun padang yang diadakan wakil rakyat dan pelbagai agensi, terdapat beberapa masalah yang sebelum ini tidak pernah diketahui berjaya ditemui diselesaikan.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, program tersebut sekali gus mencerminkan kesungguhan setiap wakil rakyat dalam menyantuni dan menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu di segenap pelusuk kawasan.

“Seperti contoh, dalam siri ziarah kasih yang pernah diadakan, saya menemui pasangan warga emas yang tinggal dalam keadaan serba daif meskipun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita tidak menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, tetapi dengan WRUR kita turun untuk menyelesaikan, di mana rumah pasangan berkenaan kita akan luluskan peruntukan untuk dibaik pulih, selain bantuan tambahan akan disalurkan.

“Jadi, kita tidak perlu mempolitikkan program WRUR kerana program inilah menjadi satu manifestasi dan tugas setiap wakil rakyat untuk berkhidmat serta membantu rakyat memerlukan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais menyuarakan keyakinan bahawa setiap aduan dan permasalahan rakyat di Sungai Udang yang dikemukakan akan diselesaikan menerusi WRUR sama ada dalam tempoh jangka masa pendek atau panjang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan WRUR DUN Sungai Udang yang berlangsung selama dua minggu dan berharap komitmen padu itu akan diteruskan di DUN-DUN yang lain selepas ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2293
Kongsi :
Previous post KEMAHIRAN TVET BUKAN SEKADAR UNTUK ‘MAKAN GAJI’
Next post LEBIH 5,000 UMAT ISLAM MERIAHKAN SUNGAI UDANG BERSELAWAT