
WRUR BAWA PERUBAHAN POSITIF DI DUYONG
DUYONG 27 Julai – Rakyat Duyong menyatakan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem kerana sentiasa berusaha mendengar denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.
Penduduk Semabok Dalam, Jamaliah Bakar, 57, menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang berkonsep turun padang ke setiap kawasan bagi mencari solusi dalam pelbagai masalah serta isu rakyat.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mendekatkan lagi pemimpin dengan rakyat, bahkan secara tidak langsung menunjukkan kerajaan hari ini begitu cakna terhadap keperluan rakyat di setiap kawasan.
“Sebelum ini, apa-apa permasalahan dan aduan kita, YB (Yang Berhormat) Helmy akan selesaikan dengan kadar segera.
“Tapi dengan WRUR ini ia lebih memudahkan dan sangat membantu dalam banyak perkara termasuklah saya mendapat manfaat menukar kad pengenalan secara percuma selepas mendapat alamat rumah baharu menerusi inisiatif Kampung Digital,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, semalam.

Jamaliah turut memuji penganjuran program WRUR Duyong yang menawarkan pelbagai pengisian bermanfaat untuk masyarakat setempat sepanjang dua minggu ia berlangsung.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, S Paramsivm, 66, turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program WRUR Duyong yang disifatkan membawa banyak perubahan positif kepada komuniti setempat.
“Program dianjurkan sangat baik dan merangkumi pelbagai aspek termasuk aktiviti sukan, pendidikan, kemasyarakatan serta kebajikan.
“Ia juga membuka ruang kepada penduduk untuk lebih mudah menyuarakan aduan dan isu yang dihadapi terus kepada Kerajaan Negeri.

“Perlu juga saya nyatakan bahawa YB Helmy adalah YB yang terbaik di sini. Terima kasih kerana telah banyak membantu rakyat di kawasan ini,” katanya.
Program WRUR Duyong telah berlangsung selama dua minggu bermula 13 Julai lalu membabitkan sebanyak 174 pengisian program yang pelbagai, khas untuk penduduk Duyong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.