
WRUR: BELIMBING DALAM ‘KAMPUNG PERTANIAN’ DUN DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 5 November – Kampung Belimbing Dalam kini semakin menyerlah sebagai kampung pertanian apabila pelbagai hasil ternakan dan tanaman diusahakan secara aktif oleh penduduk setempat melalui pelbagai inisiatif kerajaan serta program komuniti.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belimbing Dalam, Rusni Hasan, kampung itu sememangnya terkenal dengan aktiviti pertanian dan penternakan seperti ayam, lembu serta ikan.
“Kita di Belimbing Dalam ini memang banyak hasil pertanian dan ternakan. Malah pesawah juga ada sebab kawasan kita bersebelahan dengan Kampung Beringin.
“Jadi kita harap dapat kembangkan lagi dengan tanaman moden seperti kaedah hidroponik,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘Town Hall’ Exco Bersama Pemimpin sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam, di sini, semalam.

Tambahnya, program WRUR memberi banyak manfaat kepada penduduk apabila pelbagai agensi dan Exco Kerajaan Negeri sendiri turun padang menyampaikan maklumat serta perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat.
“Kalau kita lihat setiap kali program diadakan, kehadiran memang luar jangkaan. Banyak input boleh diperoleh daripada pelbagai Exco termasuk agensi terlibat.
“Warga Belimbing Dalam juga dapat melihat sendiri aktiviti dan latihan yang diadakan sepanjang minggu sempena WRUR ini.
“Saya harap program begini diteruskan bagi memberi peluang kepada penduduk menyalurkan permasalahan secara terus kepada pihak berkaitan di samping meningkatkan kesedaran terhadap potensi kampung sebagai hab pertanian dan keusahawanan tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


