
WRUR BEMBAN: MPJ DIHATIKU PRIHATIN NASIB MANGSA BANJIR
BEMBAN 24 Jun – Lima keluarga di Kampung Asam Kumbang di sini menerima sumbangan barangan elektrik dan kit makanan pada program Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Dihatiku Bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kesemua penerima merupakan mangsa yang sering terjejas dengan banjir di kampung terbabit.
Katanya, setiap keluarga menerima sumbangan berupa peti ais, mesin basuh dan kit makanan dianggarkan bernilai RM4,000 sebagai usaha meringankan bebanan mereka.
“Program ini kita turun padang bersama untuk membantu membersihakan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir yang mana aktiviti ini bukan sahaja bertujuan membersihkan rumah terjejas namun kita bawa harapan mahu tunjukkan bahawa Kerajaan Negeri prihatn terhadap nasib menimpa mereka.
“Isu banjir di sini difahamkan telah berlarutan puluhan tahun dan ia merupakan isu berulang yang sering dihadapi penduduk.
“Jadi, selain menyampaikan sumbangan, kita bersama agensi dan pihak terlibat cuba berbincang dan mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah banjir di kampung ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop; Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta kenamaan lain.
Menurut Rais, bantuan peralatan elektrik dan kit makanan kepada mangsa banjir itu disumbangkan MPJ bersama Parkland Group dengan nilai keseluruhan bernilai RM20,000.
“Kita harapkan dengan penyerahan sumbangan ini sedikit sebanyak memberikan sedikit kelegaan kepada penerima dan membantu urusan harian penerima,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.