Sorting by

×

WRUR BUKAN GIMIK RAIH UNDI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SUNGAI UDANG 24 Mei – Penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan gimik untuk meraih undi sebaliknya inisiatif cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu adalah bertujuan memastikan Kerajaan Negeri sentiasa bersama rakyat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, WRUR adalah satu program atau inisiatif amat baik yang dirangka oleh Kerajaan Negeri untuk mendekati dan menyantuni rakyat.

“Jadi kalau ada pihak-pihak yang mempolemikkan ini dengan mengatakan (WRUR) sekadar untuk gimik meraih undi ia salah.

“Belum lagi hendak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, masih berbaki setahun lebih untuk sampai tahun hadapan. Apa yang penting seperti WRUR DUN Sungai Udang dan WRUR DUN Lendu yang berlangsung sekarang ini adalah untuk memastikan Kerajaan Negeri bersama agensi terlibat sentiasa dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Japerun Sungai Udang berkata demikian ketika ditemui selepas Program TVET2U di Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi Sungai Udang, baru-baru ini.

Menurut Rais, menerusi pelaksanaan WRUR sepanjang dua minggu di setiap DUN, pelbagai pemasalahan atau isu akan diketengahkan untuk diselesaikan oleh Kerajaan Negeri menerusi agensi yang bertanggungjawab.

“Apa sahaja isu kita akan bawakan untuk dibantu dalam apa juga aspek termasuk pendidikan, kebajikan dan infrastruktur. Ini semua adalah penting untuk kita di peringkat pihak Kerajaan Negeri.

“Tiada pemimpin yang sempurna, selaku Penyelaras Japerun ada kalanya saya terlepas pandang namun begitu kita akan sentiasa memperbaiki diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post PARKLAND GROUP ‘TERBANG TINGGI’, RAIH DUA ANUGERAH UTAMA STARPROPERTY AWARDS 2025
Next post ‘SPY GAME JUNIOR’ PERTAMA MALAYSIA KINI DI MELAKA