
WRUR BUKAN PROGRAM RETORIK POLITIK – ADLY
BUKIT KATIL 7 Disember – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil bukanlah program retorik politik yang dicanang sesetengah pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari berkata program tersebut adalah iltizam dan kesungguhan Kerajaan Negeri dlaam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri.
Katanya, WRUR DUN Bukit Katil yang bermula 7 hingga 20 Disember ini menawarkan pelbagai program bermanfaat serta memberi penekanan kepada usaha menyelesaikan isu dan aduan rakyat.
“Sebanyak 258 aduan dan keperluan rakyat DUN Bukit Katil telah direkodkan untuk diperhalusi.
“Manakala sebanyak 79 program telah diatur sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan WRUR DUN Bukit Katil.
“Semua program yang dianjurkan akan menyantuni semua lapisan masyarakat termasuk anak kecil, belia dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Fun Walk Bertemakan ‘Melangkah Laju, Integriti Padu’ sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bukit Katil yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berharap penduduk sekitar DUN Bukit Katil untuk mengambil peluang menyertai dan terima faedah daripada program yang diadakan.
“Program berkonsepkan ‘turun padang’ ini memberi manfaat terus kepada rakyat yang mana rakyat mendapat akses secara terus terhadap perkhidmatan Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


