Sorting by

×

WRUR BUKIT KATIL: BANGUNAN TAMBAHAN PPKI DEMI KESELESAAN ANAK BERKEPERLUAN KHAS – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT KATIL 19 Disember – Pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil melibatkan kos RM5.6 juta dijadualkan siap sepenuhnya pada Ogos 2027.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan itu adalah keperluan mendesak bagi memastikan persekitaran pembelajaran selamat serta kondusif buat pelajar berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Ab Rauf berkata, pelaksanaan projek itu juga selaras dengan pertambahan pelajar PPKI setiap tahun hingga menyebabkan bilik darjah sedia ada semakin padat dan melebihi kapasiti sebenar.

“Situasi tersebut bukan sahaja memberi cabaran sudut keselesaan dan keselamatan tetapi menjejaskan keberkesanan proses pengajaran serta pembelajaran pelajar memerlukan perhatian serta fasiliti khusus.

“Ketiadaan kemudahan intervensi lengkap, menjadikan projek pembinaan bangunan tambahan ini bukan lagi satu pilihan. Sebaliknya keperluan tidak boleh ditangguhkan demi kebajikan dan masa depan anak-anak istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan PPKI sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bukit Katil di SMK Bukit Katil, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta lain-lain kenamaan.

Katanya, apabila siap kelak bangunan berkenaan akan dilengkapi fasiliti moden mesra pengguna selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada anak Melaka yang tercicir atau terpinggir dalam sistem pendidikan.

“Kemudahan baharu ini mampu menampung lebih 90 pelajar, sekali gus menyokong perkembangan potensi, keyakinan diri serta kesejahteraan anak-anak berkeperluan khas secara holistik.

“Jumlah pelajar PPKI di SMK Bukit Katil kini mencecah lebih 80 orang dan dijangka terus meningkat pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

253
Kongsi :
Previous post UNIMEL TAWAR TUJUH KURSUS PASCASISWAZAH ‘FAST TRACK’
Next post WRUR BUKIT KATIL: BEKAS KOMANDO ATM DICADANG ISI KEKOSONGAN AKPS