
WRUR: DEEPAVALI DISAMBUT DENGAN SENYUMAN
KLEBANG 15 Oktober – Keprihatinan Kerajaan Negeri menjadikan sambutan Deepavali lebih bermakna buat tiga penerima bakal meraikan perayaan itu tidak lama lagi.
Ibu tunggal P Arusalakumari, 49, dari Krubong Permai berkata, bantuan disalurkan amat bermakna buat dirinya yang kini membesarkan empat anak.
“Pendapatan bulanan sebagai pekerja pembersihan di sekolah tidak seberapa, jadi apabila terima sumbangan seperti ini dapat saya belanja lebih sempena Deepavali nanti terutama memberikan baju baharu untuk anak-anak.
“Sumbangan diterima tidak terlalu besar, tetapi buat golongan kurang berkemampuan seperti saya sudah memadai dan amat bermakna. Syukur kerana sudah dua tahun saya menerima bantuan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Bantuan Perayaan Deepavali Parlimen Tangga Batu 2025, bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang diadakan di Kompleks Japerun Klebang.
Sumbangan itu melibatkan 140 penerima sekitar DUN Klebang dan serahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Sementara itu V Ballu, 46, dari Taman Murni 2, Bukit Rambai, yang juga orang kurang upaya (OKU), bantuan diterima memberi sinar menjelang perayaan walaupun kehidupannya kini terbatas dan bergantung kepada kerusi roda akibat masalah saraf.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih atas bantuan ini. Isteri saya meninggal dunia akibat kanser pada 2020 dan kini saya dijaga oleh kakak.
“Bantuan ini akan digunakan untuk menyediakan keperluan anak, dua masih bersekolah, seorang adalah OKU manakala seorang lagi sudah bekerja. Gaji diterima turut digunakan untuk menampung keperluan harian kami sekeluarga,” katanya.
Manakala S. Umal Malini, 48, dari Sungai Udang, turut menzahirkan rasa syukur apabila terpilih menerima bantuan buat kali ketiga sempena sambutan Deepavali tahun ini.
“Persiapan raya baru mula sedikit, anak tiga orang, suami pula sudah pencen dan saya bekerja biasa sahaja. Apabila terima bantuan macam ini, rasa sangat gembira dan terharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.