Sorting by

×

WRUR: DIDIK PEMILIK HAIWAN PASANG MIKROCIP, ELAK RABIES

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 20 Mei – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengambil peluang penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) untuk mendidik pemilik haiwan peliharaan agar menjadi lebih bertanggungjawab.

Inisiatif itu diambil menerusi Kempen Kesedaran Rabies dan Tanggungjawab Pemilikan Haiwan Kesayangan (Pet Passport dan Pemasangan Mikrocip) di Kompleks Japerun Sungai Udang bersempena WRUR DUN Sungai Udang, semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, kempen itu diadakan bertujuan untuk menyebar luas kepentingan pemasangan mikrocip kepada haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing dalam meningkatkan daya jejak haiwan kesayangan, selain mengelak daripada penyakit berjangkit.

Tegas beliau, inisiatif itu juga merupakan antara usaha dilakukan bagi mengelakkan penyakit Rabies, iaitu sejenis penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia daripada gigitan anjing yang telah dijangkiti dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Adalah diharapkan program kempen seperti ini yang melibatkan kerjasama antara JPV dan Jabatan Kesihatan serta agensi-agensi lain ini dapat diadakan lebih kerap dan konsisten dalam memberi kesedaran kepada awam penyakit zoonotik seperti Rabies yang boleh dijangkiti daripada anjing termasuk anjing liar yang tidak diketahui status kesihatannya.

“Saya juga menyeru dan mengharapkan penyertaan yang tinggi pada program pemasangan mikrocip pada haiwan kesayangan yang akan diadakan pada hari 23 Mei ini (Jumaat) di Dewan MBMB Taman Keris Satria, Sungai Udang nanti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut Hee Sem, meskipun setakat ini tiada lagi kes positif Rabies membabitkan manusia dan haiwan dikesan di Melaka, namun tindakan pencegahan dan mendidik masyarakat perlu dilakukan lebih awal.

Malah, katanya, pemantauan yang konsisten sepanjang tahun terus dilakukan melalui aktiviti survelan penyakit oleh pihak JPV terhadap anjing, manakala Jabatan Kesihatan Negeri pula ke atas manusia.

“Pemantauan ini turut melibatkan agensi lain seperti kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengekalkan status Melaka bebas Rabies,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post CERIAKAN SEMULA TAMAN REKREASI SUNGAI UDANG
Next post GAMIT NOSTALGIA BERGELAR MURID SK DURIAN DAUN