
WRUR DUN ASAHAN: HARI KETIGA PADAT AKTIVITI, TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN
ASAHAN 5 April – Sambutan positif dan menggalakkan diterima pada hari ketiga penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, beliau memulakan program WRUR DUN Asahan dengan kuliah Subuh di Surau Ibrahim Miah, Kampung Relau.
Seterusnya, kata Fairul beliau bersarapan pagi di Kampung Relau sebelum meneruskan program Asahan Trailchallenge 2026 di Asahan Waterpark dengan penyertaan yang cukup memberangsangkan.
“Di sebelah pagi sebelum ke Asahan Waterpark, sempat saya menyantuni Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) Majlis Agama Islam (MAIM) di Kampung Hilir Batang Melaka yang bergotong-royong di rumah asnaf terpilih.
“Selepas itu sempat saya ke Dataran Asahan untuk melihat pelbagai program yang dilaksanakan antaranya Jalinan Mesra Perpaduan bersama kawasan rukun tetangga (KRT); sukan rakyat; program jualan MADANI; pelbagai program saringan kesihatan dan banyak lagi yang diadakan pada hari ketiga WRUR DUN Asahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas merasmikan Program Explorace Anak Syurga: Jejak Sumber Air di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah BKSA negeri Azizul Adzran Mahmor dan Timbalan Pengarah JKM negeri Mohd Zambry Abulis.
Tambah Fairul, masyarakat sekitar DUN tersebut menerima pelbagai limpahan manfaat daripada pelbagai program yang dilaksanakan sempena WRUR DUN Asahan itu.
“Misi dan visi saya memang mahu semua pelusuk kampung dalam DUN Asahan ini dapat dilawati dan menyantuni seberapa ramai penduduk di sini selain mereka turut menerima limpahan manfaat daripada penganjuran program WRUR ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


