Sorting by

×

WRUR DUN ASAHAN TERIMA 154 ADUAN, 600 PERMOHONAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ASAHAN 4 April – Sebanyak 154 aduan dan lebih 600 permohonan diterima dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang berlangsung bermula semalam hingga 11 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kesemua aduan yang diterima telah disalurkan kepada Pejabat Ketua Menteri untuk tindakan lanjut mengikut portfolio Exco berkaitan.

Katanya, sebanyak 600 permohonan yang diterima itu diperoleh melalui 18 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan itu.

“Tindakan susulan akan dilaksanakan dalam tempoh satu hingga tiga minggu, termasuk kehadiran Exco ke kawasan Parlimen Alor Gajah bagi meneliti isu yang dibangkitkan.

“Sepanjang program WRUR ini, sebanyak 115 program telah dirangka melibatkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta JPKK setempat bagi menyantuni rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Jamuan Aidilfitri itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selepas DUN Asahan, program WRUR akan diteruskan di kawasan lain dalam Parlimen Alor Gajah.

“Pada 12 April, WRUR akan diteruskan di DUN Gadek dan seterusnya di Machap Jaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post ASAHAN MAMPU JADI MODEL KAMPUNG SEJAHTERA
Next post STESEN MINYAK, MASJID, DEWAN TERBUKA AKHIRI PENANTIAN RAKYAT ASAHAN