Sorting by

×

WRUR DUN BEMBAN DAPAT PUJIAN PENDUDUK, LEBIH MUDAH BUAT ADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BEMBAN 6 Julai – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban menyifatkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebagai inisiatif terbaik mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

Program yang berlangsung sepanjang dua minggu dari 22 Jun hingga 5 Julai bukan sahaja mendapat sambutan positif penduduk setempat, malah mewujudkan suasana lebih ceria dalam komuniti.

Faiezah Borhan, 38, seorang suri rumah dari Kampung Tehel berkata program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi peluang rakyat bertemu sendiri wakil rakyat dan meluahkan masalah tanpa perlu melalui proses yang panjang.

“WRUR memang bagus kerana Wakil rakyat sendiri datang dengar masalah kita. Anak-anak tumpang seronok, sebab banyak aktiviti, ada pertandingan, sukan dan hadiah.

“Kita sebagai rakyat juga rasa dihargai kerana turut terlibat sama dalam program-program yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Bemban yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, di sini, semalam.

Sementara itu, Rozinah Yakop, 48, juga dari Kampung Tehel turut berkongsi pandangan sama dan berasa amat selesa dengan pendekatan turun padang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi WRUR.

Katanya, sebelum ini jika mempunyai aduan berkaitan kemudahan awam atau perkhidmatan, penduduk terpaksa ke pejabat agensi atau jabatan berkaitan dan proses itu memakan masa untuk diselesaikan.

“Tapi melalui program WRUR ini, kita terus boleh jumpa semua agensi pada satu tempat. Masalah boleh terus diajukan dan dapat jawapan dengan cepat. Bagi saya ini satu pendekatan yang bijak dan Melaka memang negeri contoh dalam bab urus tadbir dan kebajikan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post UJIAN BAPA TUNGGAL BESARKAN ANAK HIDAP KANSER HATI
Next post SANGGAR BATIN SEMBILAN UNGGULI ZAPIN RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA 2025