
WRUR DUN BUKIT KATIL PERHALUSI, CARI PENYELESAIAN SETIAP ADUAN RAKYAT
BUKIT KATIL 14 Disember – Sebahagian aduan dan pemasalahan rakyat yang diterima daripada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil sempena penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sudah diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari berkata, antara isu yang diketengahkan oleh penduduk membabitkan infrastruktur, pembangunan dan saliran.
“Sebelum Hari Aduan Rakyat kita terima lebih daripada 230 aduan namun sebahagiannya telah diselesaikan. Kali ini pula kita terima aduan baru yang antaranya berkaitan isu kewarganegaraan dan ada juga yang mohon tambahan lampu jalan di Kampung Pulau serta pondok bas baharu.
“Semua yang disuarakan kita akan ambil tindakan segera cuma ada yang memerlukan penilaian semasa kerana perlu dirujuk ke agensi berkaitan atau dibawa ke tahun hadapan kerana sekarang sudah di hujung tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Hari Aduan Rakyat Bersempena WRUR DUN Bukit Katil yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Melaka Mall, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Adly, penganjuran program WRUR bukan sahaja dapat memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat tetapi secara tidak langsung merapatkan hubungan antara komuniti.
“Saya fikir hasrat kita disamping memberi perkhidmatan kepada rakyat ia juga dapat merapatkan komuniti apabila pada sesuatu penganjuran semua lapisan dapat berhimpun bersama-sama.
“Malah sepanjang seminggu program WRUR DUN Bukit Katil ini boleh katakan penyertaan cukup baik, setiap program diadakan mendapat sambutan serta sokongan daripada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


