Sorting by

×

WRUR DUN DUYONG TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 17 Julai – Penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bukan sahaja mendapat maklum balas positif daripada rakyat malah jumlah penyertaan bagi setiap aktiviti dianjurkan juga menggalakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, sepanjang empat hari berlangsungnya WRUR DUN Duyong yang bermula sejak Ahad lalu, hampir kesemua program mencapai sasaran kehadiran serta jumlah penyertaan.

Katanya, selain program turun padang menyantuni rakyat dan ziarah kasih bersama agensi yang terbabit, program keagamaan diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut mendapat sambutan.

“Setakat ini maklum balas yang diterima oleh kami amat positif malah hampir semua program sampai sasaran misalnya sesi dialog bersama penduduk kampung telah dihadiri hampir 100 orang begitu juga kolaborasi dengan sekolah turut sampai sasaran.

“Malah program yang dijangka akan menerima penyertaan minimum seperti takzirah dan kuliah dhuha oleh MAIM turut melepasi sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata, pihaknya amat berharap keadaan itu berterusan dan rakyat DUN Duyong khususnya terus bersama-sama menjayakan WRUR DUN Duyong sehingga berakhirnya program itu pada Sabtu depan.

“Saya menjangkakan semua ini akan berterusan dan orang-orang Duyong akan turun bersama-sama bagi menjayakan setiap program yang telah diaturkan.

“Untuk WRUR DUN Duyong ini program ditentukan oleh kita bukan agensi kerana bukannya kita memilih tetapi melihat kepada keperluan penduduk mungkin disebabkan itu maklum balas diterima positif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post MICTH BINA 145 MENARA TELEKOMUNIKASI, LONJAK PEMBANGUNAN DIGITAL NEGERI
Next post FAIRUL NIZAM CAKNA ASPEK PENDIDIKAN ANAK ASAHAN