Sorting by

×

WRUR DUN DUYONG TIDAK LUPAKAN INSAN ISTIMEWA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DUYONG 16 Julai – Insan istimewa turut mendapat perhatian sepanjang dua minggu penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya sudah mengatur lima program yang melibatkan penyertaan secara langsung golongan berkenaan.

Jelasnya usaha itu bertujuan memastikan tidak ada penduduk DUN Duyong yang keciciran daripada menikmati faedah hasil penganjuran pelbagai program sepanjang berlangsungnya WRUR dari 13 hingga 26 Julai nanti.

“Hasrat saya adalah untuk merapatkan jurang, selain meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama lebih cakna dan ambil tahu mengenai keperluan golongan istimewa atau berkeperluan khas ini.

“Alhamdulillah program pertama melibatkan penganjuran sukaneka sudah dilaksanakan dengan jayanya pada Ahad (13 Julai) lalu, kemudian disusuli Karnival Havoc STEM Pendidikan Khas hari ini, selain itu portfolio Exco Kerja Raya akan menganjurkan kempen keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Havoc STEM Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Melaka, di Semabok, hari ini.

Katanya, pada Sabtu dan Ahad ini pula akan berlangsung Saringan Anak Istimewa Secara Percuma yang dijayakan oleh empat pakar kanak-kanak dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu beliau berharap ibu bapa atau penjaga untuk bersama-sama hadir dan memanfaatkan peluang terbuka demi faedah anak masing-masing.

“Pada 26 Julai pula akan berlangsung sukan rakyat yang turut melibatkan kategori orang kurang upaya (OKU), pengajuran ini adalah susulan kejayaan sukaneka pada 13 Julai lalu.

“Selain akan membabitkan ibu bapa, kita menyasarkan setiap sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk menghantar sekurang-kurangnya 15 murid bagi memeriahkan acara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post KADAR KEPULIHAN KLIEN AADK DI MELAKA MENINGKAT
Next post POLIS MELAKA RAMPAS 351 PISTOL TIRUAN, DISIMPAN DAN JUAL TANPA LESEN