
WRUR DUN LENDU: 183 ISU RAKYAT DISELESAIKAN
LENDU 31 Mei – Kejayaan menyelesaikan 183 isu rakyat dalam tempoh hanya dua minggu menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu menjadi bukti kecekapan serta keprihatinan Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang berlangsung selama dua minggu bermula 18 hingga 31 Mei, menyaksikan 269 aduan dan permasalahan rakyat diterima, merangkumi pelbagai aspek.
“Ia termasuklah aspek pembangunan, pendidikan, kebajikan, kemudahan asas dan isu setempat. Kejayaan menyelesaikan isu tersebut menunjukkan tindakan pantas dan penyelesaian berfokus oleh semua pihak terlibat.
“Pelaksanaan WRUR DUN Lendu ini juga berjaya melaksanakan 145 program, setiap pencapaian ini adalah hasil sinergi dan kebersamaan kita semua.
“Inilah medan terbaik yang menjadi jambatan kukuh antara kerajaan dan rakyat, bukan sahaja menyuarakan suara rakyat di dewan, malah turun padang bagi menyantuni dan memahami keperluan rakyat hingga ke akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk barisan Exco, pegawai Japerun, pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Dengan kejayaan ini, WRUR DUN Lendu dilihat mencapai matlamatnya dengan cemerlang sebagai satu platform berkesan dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.