Sorting by

×

WRUR DUYONG PASTIKAN TIADA YANG TERCICIR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 15 Julai – Seramai 50 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang kurang bernasib baik disantuni pada Program Ziarah Kasih Kembara Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka itu dilaksanakan secara serentak oleh tujuh kumpulan ziarah yang bergerak ke seluruh kawasan DUN berkenaan bagi menyampaikan sumbangan secara langsung kepada penerima terpilih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, antara yang disantuni adalah warga emas, pesakit kronik dan golongan kurang berkemampuan di seluruh kawasan tersebut.

Jelas beliau, selain menziarahi dan bertanya khabar turut disampaikan sumbangan dalam bentuk kit makanan dan bantuan tunai hasil kerjasama daripada pelbagai pihak penyumbang.

“Ada antara mereka yang diziarahi turut menerima bantuan bulanan daripada JKM dan selepas penilaian semula, bantuan tersebut ditambah.

“Contohnya, seorang pesakit terlantar di Durian Daun sebelum ini menerima RM500 sebulan, kini ditingkatkan kepada RM600 kerana turut tergolong sebagai warga emas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai program ziarah tersebut di Kampung Durian Daun, di sini, hari ini.

Turut bersama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, program WRUR merupakan pendekatan menyeluruh dari agensi kerajaan terus kepada rakyat, tanpa kerenah birokrasi.

“Melalui WRUR DUN Duyong, kita pastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menerima bantuan kebajikan. Pelbagai lagi program dirancang untuk manfaat warga Duyong dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post 131 ANAK AUTISME MELAKA LAYAK TERIMA SUBSIDI YURAN PEMBELAJARAN
Next post SENTUHAN KASIH MBMB UNTUK PENDUDUK DUYONG