
WRUR: HIDUPKAN SUASANA DESA, PUPUK BUDAYA SAYANGKAN ALAM SEKITAR
KLEBANG 12 Oktober – Menghidupkan semula suasana desa dan menggamit kenangan lama, itulah gambaran kemeriahan Pertandingan Memancing Joran Terbang Santai bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Pertandingan berlangsung di sepanjang tali air berhampiran Sekolah Rendah Agama JAIM Batang Tiga, di sini, semalam menggamit lebih 300 peserta dari kampung berhampiran dan sekitar DUN Klebang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, program penuh dengan hilai tawa itu secara tidak langsung mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Saya lihat ramai peserta yang datang bersama ahli keluarga seperti anak bersama ayah, datuk bersama cucu, bukan setakat lelaki ramai juga wanita yang turut serta, sekali gus membuktikan program seperti ini benar-benar memberikan impak dalam menyuburkan lagi perpaduan.
“Lokasi pertandingan menyajikan pemandangan indah sawah padi memupuk kesedaran dan meningkatkan lagi kesedaran berhubung kepentingan menjaga alam sekitar. Parit dalam keadaan bersih ikan juga banyak, pertandingan baru sahaja bermula sudah ada peserta yang berjaya mendaratkan ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi pertandingan yang turut dihadiri Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff.
“Program ini adalah anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Tga dan MBMB.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.