Sorting by

×

WRUR: JAMBATAN HUBUNG DUA KAMPUNG TERPISAH SIAP 2027

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KLEBANG 17 Oktober – Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong yang runtuh dalam kejadian September 2023 bakal dibina baharu menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek bernilai RM9.4 juta itu bakal melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 70 meter berserta jalan baharu sejauh 400 meter.

Jelas beliau, kerja-kerja pembinaan telahpun bermula selepas penyerahan tapak pada 3 Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2027.

“Ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan infrastruktur dan kemudahan di Melaka agar setiap inci pembangunan benar-benar memberi manfaat dan menyentuh kehidupan rakyat di setiap lapisan.

“Saya yakin, pembinaan jambatan ini akan memberi impak besar bukan sahaja dari aspek kemudahan dan keselamatan penduduk setempat, malah mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka Ir. Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Ab Rauf turut mengingatkan setiap kontraktor dan agensi pelaksana agar tidak memandang ringan aspek keselamatan rakyat, apatah lagi selepas beberapa insiden kemalangan yang berlaku kebelakangan ini.

“Justeru, saya menggesa agar setiap agensi pelaksana dan pihak berkuasa berkaitan memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan kecekapan dalam memastikan kerja-kerja penyelenggaraan, pengawasan
dan keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Saya mahu setiap projek infrastruktur yang dilaksanakan mestilah mematuhi piawaian yang ditetapkan, dengan penekanan terhadap aspek kualiti, keselamatan dan kelestarian supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post WRUR: POTENSI BESAR KLEBANG SEBAGAI KATALIS EKONOMI BAHARU MELAKA
Next post WRUR: KLEBANG TERIMA ADUAN TERBANYAK, BUKTI INISIATIF TURUN PADANG KERAJAAN BERKESAN