
WRUR: KAMPUNG BERINGIN BAKAL JADI PRODUK EKO PELANCONGAN BAHARU MELAKA
DURIAN TUNGGAL 2 November – Kampung Beringin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal bakal dimajukan dan ditransformasikan sebagai lokasi eko pelancongan baharu Negeri Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, berkata produk eko pelancongan bakal ditawarkan nanti akan menampilkan keindahan pemandangan sawah pagi dan Sungai Melaka.
Katanya, perkara itu juga sudah dipersetujui oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menerusi perbincangan dilaksanakan sebelum ini.
“Kita akan angkat perkara ini untuk perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi tindakan selanjutnya dan peruntukan bagi kerja-kerja pembangunan.
“Malah sebelum ini kita turut membuat permohonan berhubung cadangan sama kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya ketika ditemui pada Hari Aduan Rakyat Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal hari ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Mengulas lanjut Zahari, berkata apabila dilaksanakan kelak cadangan itu akan memberikan manfaat kepada penduduk sekitar menerusi pelbagai aktiviti ekonomi.
“Setiap pembangunan dirangka insya-Allah akan memberikan faedah kepada rakyat dan komuniti setempat. Menerusi cadangan ini juga kita mahu menempatkan penjaja kecil di satu kawasan agar lebih teratur.
“Mungkin kita akan tempatkan di lokasi perniagaan di tebing sungai yang mampu menggamit kehadiran ramai pengunjung, menjadi hasrat saya untuk mewujudkan sebuah lokasi tumpuan di DUN Durian Tunggal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


