Sorting by

×

WRUR: KAMPUNG DIGITAL MODENKAN KOMUNITI SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI UDANG 22 Mei – Usaha Kerajaan Negeri memperluaskan inisiatif Kampung Digital di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menjadi langkah transformasi dalam memodenkan komuniti setempat.

Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, menerusi inisiatif tersebut sebanyak 400 kediaman dalam DUN Sungai Udang telah diberikan alamat baharu yang lebih tersusun, selain turut dilengkapi kod QR.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, inisiatif itu diperluaskan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang sedang berlangsun sehingga 30 Mei depan, sekali gus memudahkan urusan penduduk pada masa akan datang.

“Langkah meluaskan inisiatif Kampung Digital ini menerusi WRUR terbukti menjadi antara satu usaha santunan rakyat yang berkesan selepas ia dilakukan di WRUR DUN Kuala Linggi dan Pengkalan Batu sebelum ini.

“Saya melihat proses edaran dan mendengar sendiri taklimat yang diberikan mengenai Kampung Digital ini, jadi saya yakin penerimaan penduduk terhadap inisiatif ini sangat baik memandangkan ia memberi kemudahan kepada semua pihak di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Kem Pembangunan Insan di Masjid Wadi As-Siddiq, Paya Rumput Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata inisiatif yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu telah pun diambil sebagai contoh di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan secara meluas.

“Saya difahamkan inisiatif menjadikan rakyat semakin celik dengan digital masa kini ini telah diperkenalkan di peringkat Persekutuan dan akan diperluaskan.

“Melaka menjadi perintis kepada inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, ia sekali gus menjadi negeri ini sebagai perintis program yang sangat bagus untuk rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1510
Kongsi :
Previous post WRUR: TVET2U BANTU PELAJAR ‘CELIK’ TVET
Next post USTAZ KAZIM GAMIT LEBIH 600 WARGA LENDU