Sorting by

×

WRUR: KARNIVAL KITA MADANI PERKUKUH DASAR KERAJAAN KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KLEBANG 12 Oktober – Penganjuran Karnival Kita MADANI menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata karnival terbabit juga menjadi medan dalam menyemai semangat perpaduan serta kebersamaan rakyat pelbagai lapisan.

Katanya, Karnival itu turut disifatkan sebagai manifestasi sokongan terhadap gagasan Malaysia MADANI yang berteraskan nilai ihsan, adab, ilmu, kesejahteraan dan daya cipta bagi membina masyarakat berilmu dan beretika.

“Program berkonsep turun padang ini memberi peluang kepada rakyat untuk mengakses maklumat sahih, memahami pelaksanaan dasar kerajaan serta menikmati pelbagai perkhidmatan secara langsung, bukan sekadar slogan, tetapi diterjemah melalui tindakan nyata di lapangan.

“Selain itu, pelbagai aktiviti menarik dan inklusif turut diadakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran agensi kerajaan, kenduri rakyat, sukaneka dan aktiviti komuniti, yang menyantuni semua peringkat usia serta latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat Peringkat Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Dataran Klebang di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Shaiful Hizam Johan; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata karnival terbabit dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berilmu, beretika dan berdaya saing.

“Kekuatan masyarakat terletak pada semangat kerjasama dan kesatuan yang ditunjukkan dan dengan usaha bersama, kita mampu mencipta masa depan yang lebih cerah dan sejahtera.

“Melalui program seperti ini, kita dapat merapatkan hubungan silaturahim dan memperkukuh kerjasama dalam usaha membangunkan masyarakat, khususnya generasi muda menghadapi cabaran era digital,” katanya.

Fairul Nizam turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan menggalakkan daripada warga Klebang, yang membuktikan bahawa semangat MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya telah mula berakar dalam jiwa masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post ASUH MASYARAKAT AMALKAN KITAR SEMULA
Next post WRUR: HIDUPKAN SUASANA DESA, PUPUK BUDAYA SAYANGKAN ALAM SEKITAR