
WRUR: KASIH KANAK-KANAK 2025 DIDIK MURID TENTANG HAK DAN KESELAMATAN DIRI
KLEBANG 15 Oktober – Kerajaan Negeri komited melahirkan masyarakat cakna terhadap isu kebajikan kanak-kanak menerusi Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2025 sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen berkata program tersebut menjadi platform penting dalam memperkasa kesedaran murid dan pelajar sekolah berkenaan hak, keselamatan serta perlindungan diri.
Katanya, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka melibatkan 150 murid sekolah rendah sekitar DUN Klebang.
“Setiap kanak-kanak berhak hidup aman dan dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian atau eksploitasi. Jika hak ini tidak dijaga, mereka perlu tahu kemana hendak meminta bantuan.
“Kanak-kanak juga tidak perlu takut atau malu untuk mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih 15999 sekiranya berdepan sebarang bentuk penderaan atau pengabaian.
“JKM Melaka telah merekodkan lebih 545 kes memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan kes penderaan, pengabaian dan eksploitasi pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Halyjah Muhamad dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Chau Yen berkata program advokasi itu juga memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang hak utama mereka iaitu hak untuk hidup, hak perlindungan, hak perkembangan dan hak penyertaan.
“Kita semua ada tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak dan membina masyarakat yang peka terhadap keselamatan mereka,” katanya.
TIMBALAN Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen (lima dari kiri) melancarkan Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2025 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai. Foto Muhammad Rasul Azli Samad
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.