Sorting by

×

WRUR: KEBERSIHAN PREMIS MAKANAN DI KLEBANG WALK MEMUASKAN

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KLEBANG 12 Oktober – Kebersihan premis makanan di Klebang Walk berada pada tahap memuaskan hasil pemantauan yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, setakat Januari sehingga 6 Oktober tahun ini, sebanyak 72 premis makanan telah diperiksa di lokasi tarikan pelancong itu.

Jelas beliau, daripada jumlah itu 59 premis telah mendapat gred A dan 13 premis mendapat gred B, manakala tiada premis merekodkan gred C dan tiada gred.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat beberapa peniaga didapati melakukan kesalahan apabila sebanyak 19 notis telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM2,250, antaranya gagal mempamerkan perakuan daftar premis dan pengendali tidak memakai apron.

“Pemeriksaan kebersihan yang dijalankan ini amat penting dalam memastikan makanan dijual di Klebang Walk mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain memberikan pendedahan kepada
pengusaha makanan tentang pengendalian makanan yang selamat, usaha ini juga menyokong imej pelancongan Klebang dengan memastikan persekitaran makanan bersih dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada program Walkabout ‘Perhati dan Pilih’ – Keselamatan Makanan Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Klebang Walk, di sini, malam tadi.

Program itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong dan hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Dalam pada itu, Hee Sem turut meminta semua peniaga makanan di Klebang dan seluruh Negeri Melaka agar sentiasa menjadi kebersihan dan kualiti makanan yang dijual bagi menjaga imej negeri ini sebagai sebuah kota pelancongan.

Pada masa sama, beliau berkata, BKKM Jabatan Kesihatan Negeri Melaka juga akan sentiasa memantau aspek kebersihan premis makanan di semua premis makanan dalam negeri Melaka bagi memastikan makanan disediakan dan dijual adalah selamat serta mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sekiranya didapati ada premis yang tidak menjaga kebersihan dan kualiti makanan, orang ramai boleh menyalurkan aduan ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di http://moh.spab.gov.my atau boleh juga menerusi Whatsapp Aduan di talian 012-8484378,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post WRUR: KLEBANG BERGEMA ALUNAN SELAWAT
Next post MACAM-MACAM ADA DI PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 MELAKA 17 – 19 OKTOBER INI